Sunday, November 14, 2010

Raya Korban Dah Datang!!

Assalamualaikum.
Sudah sekian lamanya tidak dikemas kini laman blog ini. Mungkin hari-hari disibukkan dengan kerja-kerja di pejabat, hobi, dan segala pekerjaan lain. Sebut pasal kerja di pejabat, bunyinya gaya macam sudah bekerjalah pula. Jawabnya sekarang ini sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat kontraktor. Latihan industri ini sebahagian daripada modul program pengajian Diploma Ukur Bahan di UiTM Perak. Kiranya selama satu semesterlah kami perlu bekerja/menjalani latihan industri ini bersamaan dengan enam bulan lamanya.
 
    Cukuplah soal praktikal. Sekarang hendak bercerita pasal apa ya? Sekarang ni dah masuk bulan Zulhijah, 7 Zulhijah 1431 bersamaan dengan 14 November 2010 hari Ahad. Jadi kita semua pasti maklum bahawa Hari Raya Korban atau dipanggil juga dengan nama Hari Raya Aidiladha dan Raya Haji ini sudah menghampiri kita. Apa yang sinonim dengan hari raya umat Islam ini ialah terdapatnya satu ibadah yang istimewa. Ibadah tersebut ialah ibadah korban. Umat Islam dianjurkan oleh syarak bagi yang berkemampuan untuk menjalani ibadah korban seperti menyembelih lembu, unta, kambing dan yang lain-lainnya dengan niat untuk dikorbankan kerana Allah Taala serta dagingnya diagih-agihkan kepada jiran tetangga terutama yang memerlukan.
 
    Di samping itu, dalam bulan Zulhijah ini juga terdapatnya kemuncak ibadah haji bagi mereka yang berpeluang mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci. Terdapatnya ibadah wukuf di padang Arafah yang dikatakan sebagai satu ibadah yang utama dalam ibadah Haji. Terdapat sabdaan Baginda Rasul S.A.W. yang menyatakan bahawa ibadah Haji itu adalah ibadah Wukuf. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya ibadah Wukuf ini. Semoga seluruh umat Islam yang mengerjakan ibadah Haji pada tahun ini terutamanya rakyat Malaysia dikurniakan Haji Mabrur.
 
    Apabila membicarakan mengenai Hari Raya Haji, kita seringkali diperingatkan mengenai peri pentingnya pengorbanan dalam kehidupan ini. Sebagaimana yang kita maklum, ibadah korban pada Hari Raya Haji ini dikatakan sebagai satu peringatan buat kita mengenai peristiwa Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail mahupun Nabi Ishaq A.S. mengikut sesetengah para mufassirin yang patuh pada perintah Allah S.W.T. yang memerintahkan Nabi Ibrahim A.S. untuk menyembelih anaknya itu. 
 
    Semoga dengan kedatangan Raya Aidiladha kali ini dapat memperteguh lagi kekuatan diri kita dalam berkorban bagi mencapai malamat utama kita orang Islam, mendapatkan redha Allah Taala dan Syurga yang kekal abadi.
 
--Tokdin Tuman--

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
UA-33750781-1