Assalamualaikum. Alhamdulillah, puji-pujian dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dapatlah kami menjenguh ke tahun baru Islam iaitu tahun yang ke-1432 H. Kami syukur rasanya kerana masih lagi diberi kesempatan untuk melangkah ke tahun baru Islam. Semoga segala hajat dan azam yang belum kesampaian pada tahun yang sudah dapatlah dibawa ke tahun ini untuk diusahakan seberapa dapat biar tercapai jua.
Beberapa hari yang lalu sebelum tibanya saat yang ditunggu-tunggu ini, kami sebenarnya berasakan awal tahun Hijrah yang baru ini masih lagi agak jauh sedikit daripada menjenguh ke mari. Namun, setelah diperingatkan oleh rakan dan taulan akan cuti awal Muharam ini terasa sedikit tersentak. Ya Allah, begitu pantas masa berlalu. Dirasakan baru beberapa bulan sahaja kami menyambut awal Muharam. Masih terngiang-ngiang lagi di kotak fikiran ini saat jari-jemari mengetuk kekunci komputer untuk menulis ucapan selamat menyambut Maal Hijrah 1431.
Pada pagi hari Selasa, 1 Muharam 1432 H bersamaan dengan 7 Disember 2010 M, telefon bimbit kami menerima pesanan ringkas ucapan salam Maal Hijrah daripada guru merangkap pensyarah kami, Ustazah Kalthom. Bunyinya sekadar biasa namun bagi diri ini terasa seakan bertuah badan kerana guru kami masih lagi ingat kepada anak muridnya yang biasa ini. Mungkin sebab kami sering kali menghantar pesanan ringkas bagi bertanya dan juga mengucapkan ucapan selamat yang membuatkan Ustazah pula yang memulakan ucapan selamat buat kami. Terasa malu pula sebab kami terlupa hendak berutus mesej ucapan selamat kepada guru kami pada kali ini. Itulah yang kami rasakan satu perkara yang biasa bagi orang lain namun begitu istimewa dan membekas di hati dan ingatan kami.
Dalam ucapan selamat itu ada terselit satu nasihat yang berguna buat kami yang masih muda mentah ini. Bunyinya seperti ini - "Sama-samalah kita berhijrah kepada cara hidup yang diredhai Allah sebelum kita dipanggil berhijrah ke alam baqa' ". Satu nasihat yang ringkas namun menyimpan seribu makna yang mendalam buat sesiapa saja. Dalam hidup kita ini sudah semestinya pernah bahkan sentiasa pula terjerat, terjerumus, dan terjebak dengan bermacam kesilapan. Kadangkala pula kita hanyut dengan kehidupan dunia yang memukau mata sehingga membuat perkara yang dilarang Tuhan. Oleh itu, bersempena Tahun Baru Hijrah ini adalah molek buat kita berazam untuk berhijrah kepada cara hidup yang diredhai Tuhan. Mana yang silap diperbetulkan, yang baik dipertingkatkan, yang buruk diperbaikkan, dan begitulah yang lainnya.
Semoga Tahun Baru Hijrah 1432 kali ini akan menjadi suatu wadah buat kita memperbaiki diri, memperbanyak amal soleh, memperkurang amal yang dilarang, dan menjadi hamba Allah yang bertakwa. Sebagai penutup bicara marilah kita renung-renungkan sabdaan Nabi S.A.W. yang diriwayatkan daripada Umar Ibn Khattab r.a. :
"Innamal 'amaalu bin niyyaat, wa innamaa likullimriin maa nawaa, faman kaanat hijratuhu ila Allahi wa rasuulihi fahijratuhu ila Allahi wa rasuulihi, waman kaanat hijratuhu lidunyaa yuSibuhaa awimra atin yankiHuhaa fahijratuhu ilaa maa haajara ilaihi." au kama qal.
Rawahul Bukhari wa Muslim.
"Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi setiap orang apa yang diniatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu."
Riwayat Bukhari dan Muslim.
-Tokdin Tuman-
No comments:
Post a Comment