Thursday, December 30, 2010

"Terusir" Buah Tangan Buya Hamka

Assalamualaikum.

Baru-baru ini aku berpeluang sekali lagi berkunjung ke gedung buku Muda Osman cawangan KB Mall di Kota Bharu, Kelantan. Yang paling bertuahnya bagiku adalah mempunyai wang saku yang cukup untuk kubeli beberapa buah tangan dari gedung buku. Biasalah kalau kaki buku masuk ke gedung buku sudah tentu rambang mata. Ibarat orang perempuan masuk ke gedung beli-belah terkena pula waktu jualan hujung tahun lagilah gila mata tengok barang-barang. Mahu tak mahu mesti dibeli juga beberapa barang yang memikat pandangan mata.

         Pada hari itu, aku sempat beli empat buah buku walau duit poket sebenarnya masuk ke paras berjaga-jaga. Almaklumlah sudah masuk ke penghujung tahun serta semester. Antara buku yang kubeli ialah sebuah novel kecil karangan Buya Hamka, Terusir selain tiga buah buku lagi. Semuanya karya Buya Hamka. Sememangnya sudah lama aku mencari-cari koleksi buku karya beliau. Ketika saat pertama membaca buku karya beliau aku terpikat dengan langgam bahasa beliau yang agak puitis dalam karya sasteranya. Juga penerangannya yang senang dah jelas dalam karyanya sama ada berkaitan agama mahupun falsafah dan persoalan hidup.

        Secara tuntasnya, novel ini bertemakan kehidupan seorang perempuan yang tinggi budinya yang terdesak oleh keadaan serta tiada tempat untuk bergantung harapan yang akhirnya terjerat ke kancah pelacuran. Watak utamanya Mariah yang telah diceraikan tanpa usul periksa oleh suaminya, Azhar,  setelah dia ditangkap bersama seorang lelaki, Hamzah, yang tiba-tiba masuk ke kamar biliknya.

        Mariah meninggalkan anaknya Sofyan yang masih kecil dengan berat hati setelah dicerai dan diusir oleh suaminya. Dimintanya untuk berjumpa atau menjaga anaknya daripada Azhar tiada dilayan. Setelah diceraikan terpaksalah Mariah lari dan menumpang di rumah bapa angkatnya yang juga rakan baik arwah ayahnya.Namun atas sikap buruk emak angkatnya, Mariah terpaksa meninggalkan rumah itu dan lari tanpa hala tujuan. Atas tekad dirinya, Mariah berjaya mendapatkan kerja sebagai orang gaji di sebuah rumah orang kaya dari Eropah, Tuan Van Oost. Namun, kesenangan hidup Mariah tidak lama kerana setelah beberapa lamanya tuannya ingin pulang bersara ke kampung halamannya yang menyebabkan Mariah terpaksa diberhentikan.

        Selepas berhenti kerja sebagai orang gaji, Mariah akhirnya berkahwin dengan rakan sekerjanya semasa bekerja di rumah Tuan Van Oost, Yasin. Tidak berapa lama Mariah diceraikan suaminya itu kerana Yasin bukanlah ikhlas mengahwininya melainkan untuk mengaut laba daripada harta dan barang kemas Mariah untuk dirinya jua. Dihabiskanlah wang gadaian barang kemas Mariah di meja judi.

        Semenjak bercerai buat kali kedua inilah, hidup Mariah mula terumbang-ambing. Sudah jenuh dia mencari pekerjaan yang halal namun tiada ketemu jua. Mariah akhirnya terjerumus ke lembah kehinaan, suatu lembah yang dirinya sendiri tidak mahu masuk namun apakan daya dirinya yang tiada terdaya ditambah dengan hutang rumah sewa yang tidak terbayar beserta keinginan untuk mencari sesuap nasi untuk pagi dan petang hari. Di samping tiada pula orang yang sanggup menerimanya untuk bekerja. Mariah yang dahulunya sudah tiada lagi, kini sudah menjadi Neng Sitti, perempuan lacur yang terkenal di Jakarta. 

         Akhirnya, timbullah konflik yang cukup mengharukan kita, anaknya Sofyan anak Mariah sudah besar panjang dan berjaya bergelar seorang peguam. Namun, kes pertama yang akan dibelanya adalah kes seorang perempuan lacur yang dituduh membunuh seorang pemuda bernama Wirja. Ternyata perempuan tua yang dibelanya itu sememangnya ibu kandung Sofyan, Mariah yang telah membunuh Wirja seorang musuh kepada Sofyan. Bagi menghalang Wirja mengenakan anaknya Sofyan, Mariah yang dikenali sebagai Neng Sitti telah nekad menikam musuh anaknya itu. 

        Apakah agaknya sikap Sofyan apabila ibu kandung yang dirindui belaian kasihnya itu ternyata seorang pelacur? Berjayakah Sofyan sekurang-kurangnya meringankan hukuman yang bakal dihadapi oleh Neng Sitti itu? Adakah Neng Sitti dapat juga memeluk cium anak yang dirinduinya itu setelah sekian lama? Cubalah baca dan periksa sendiri daripada novel Terusir ini. Sebuah novel yang membawa persoalan yang tidak kurang pentingnya. Masyarakat sering saja menghukum dan menghina golongan yang terlibat dalam kancah pelacuran namun tidak sedar akan kesilapan masyarakat sendiri yang menyebabkan para perempuan itu menjadi seorang pelacur. Mereka memilih jalan hitam itu lantaran tiada pembelaan daripada masyarakat. Tidak sedikit perempuan lacur pada mulanya tidak sanggup melacurkan dirinya melainkan terdesak lalu gelap arah tujuan mereka selain terpedaya dengan lelaki yang durjana sehingga tersungkur di jalan hitam. Setelah tersungkur hendak lari sudah tiada tempat dalam masyarakat. Pada mereka perempuan lacur itu sudah tiada nilainya lagi. Sedangkan Tuhan membuka pintu taubat-Nya seluas-luasnya kepada hamba-hamba-Nya yang bertaubat. Diampuni-Nya dosa walau bertimbun-timbun setinggi langit, seluas lautan, dan sebanyak bintang yang bertaburan di kaki langit.
-Tokdin Tuman-

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
UA-33750781-1