Thursday, August 19, 2010
Susah Sangat Ke Nak Khatam Al-Quran Dalam Bulan Ramadhan??
Insya Allah, pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai bagaimana kadah untuk kita khatam 30 juzuk al-Quran dalam masa sebulan Ramadhan walau dalam masa yang begitu suntuk sekalipun dalam seharian. Saya pasti mungkin ramai antara kita yang sudah pasti mengetahui dan ramai pula yang telah pun melaksanakannya. Apa pun tujuan saya hanyalah sekadar berkongsi pengalaman dan sebagai peringatan buat sesama kita agar tidak terlupa. Sudah pasti dalam dunia yang semakin moden dan canggih ini, kehidupan kita akan lebih banyak disibukkan dengan pekerjaan dunia seperti kerja dari awal pagi hingga ke petang bahkan ada yang sampai menjengah waktu malam. Walau apa pun di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. Sesiapa yang berusaha Insya Allah akan berjaya.
Dalam sebulan Ramadhan terdapat 30 ataupun 29 hari bergantung kepada hilal bulan. Namun secara kasarnya kita dapat katakan terdapat 30 hari semuanya dalam sebulan bulan puasa. Oleh yang sedemikian, kita hanya perlu membaca satu juzuk al-Quran dalam sehari memandangkan al-Quran mengandungi sebanyak 30 juzuk kesemuanya. Saya pasti bagi sesetengah orang akan terfikir bahawa banyak juga ayat al-Quran yang perlu dibaca bagi setiap hari. Apa pun satu juzuk al-Quran tidaklah sebanyak mana pun. Jikalau dikira dari segi helaian kertas cuma sepuluh helai sahaja yang bersamaan 20 muka surat. Namun terdapat juga sesetengah juzuk yang lebih sedikit daripada sepuluh helai seperti juzuk 30 atau lebih dikenali dengan nama juzuk ‘Amma.
Bagaimana, adakah kita masih mempunyai semangat untuk menghabiskan bacaan ayat suci al-Quran dalam masa sebulan kita berpuasa? Atau semangat semakin pudar setelah mengira-ngira jumlah helaian yang perlu dibaca dalam sehari? Bagi saya, perasaan berat atau terbeban dengan jumlah yang mungkin banyak ini dapat diatasi melalui cara kita berfikir. Cuba fikirkan hanya sepuluh (10) helai sahaja satu hari bukannya seratus helaian. Bagi sepuluh helai ini tidaklah memakan masa yang terlalu lama jika kita pandai membahagi-bahagikan masa untuk membacanya.
Kaedah terbaik bagi membahagikan masa untuk membaca al-Quran adalah melalui waktu solat fardu lima waktu sehari semalam. Sudah pasti antara kita ini akan menyediakan ruang untuk menunaikan solat fardu walau dalam keadaan yang sesibuk mana sekalipun. Oleh itu, gunakanlah peluang setiap kali selepas solat fardu ini untuk membaca al-Quran sebanyak dua helai sahaja. Dengan itu, apabila dua helai ini didarabkan dengan lima kali solat fardu akan berjumlah sepuluh helai. Nampaknya kita telah pun berhasil untuk menghabiskan bacaan bagi hari tersebut. Nampak senang bukan, jumlah sepuluh helai itu kini semakin sedikit setelah dibahagi-bahagikan.
Inilah antara cara mudah untuk kita amalkan bagi menghabiskan bacaan al-Quran dalam masa sebulan Ramadhan. Saya percaya bagi menghabiskan bacaan dua helai ayat al-Quran tidaklah mengambil masa yang terlalu lama. Mungkin dalam masa sepuluh minit sahaja paling lama pun untuk menghabiskan bacaan tersebut. Apa pun hal ini bergantung kepada kefasihan seseorang itu dalam membaca al-Quran. Bagi mereka yang masih kurang lancar janganlah rasa sedih dan terbeban, bacalah sekadar yang termampu. Ingatlah bagi mereka yang tergagap-gagap atau tersekat-sekat dalam bacaannya Allah s.w.t. akan mengurniakan dua pahala. Pahala bacaan serta pahala akibat kesukaran yang ditempuh ketika membaca al-Quran.
Walau bagaimanapun, kita boleh sahaja mencari waktu-waktu lapang yang tersendiri kerana masa lapang setiap orang itu tidaklah sama. Bagi saya sendiri, saya lebih suka membaca al-Quran pada awal pagi setelah solat Subuh, selepas Asar, dan seusai Maghrib kerana saya fikir itulah masa yang paling lapang dan tenang untuk menghabiskan bacaan. Terserah kepada masing-masing. Cuma kaedah bacaan setiap kali selepas Solat merupakan antara cara mudah bagi membahagikan bacaan dalam jumlah yang tidak membebankan serta lebih elok iaitu seusai sahaja kita menunaikan solat. Harus diingatkan di sini, keazaman diri amat penting kerana tanpanya kita mungkin akan berhenti sekerat jalan lantaran timbulnya perasaan malas dan pelbagai dugaan lagi.
Akhir kalamnya, marilah kita sama-sama mengejar pahala amal kebajikan dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat ini dengan menamatkan bacaan al-Quran dalam sebulan kita berpuasa kerana tidaklah sesukar manapun untuk menghabiskan bacaan jikalau pandai merancang. Ingatlah membaca al-Quran bukan hanya khusus pada bulan Ramadhan sahaja namun harus diteruskan dalam bulan-bulan yang lain. Apa yang terbaik hendaklah kita pastikan dalam seharian kita hidup ini haruslah diselit dengan amalan membaca al-Quran waima satu muka surat mahupun satu ayat sekalipun. Mudah-mudahan kita dilimpahi rahmat dan sakinah daripada Tuhan Rabbul Jalil.
~Tokdin Tuman~ 09 Ramadhan 1431 H
Wednesday, August 18, 2010
Ramadhan Karim Yang Ditunggu-tunggu
Alhamdulillah, kini kita telah melangkah masuk dalam bulan yang penuh rahmat, keampunan, dan kemuliaan iaitu bulan Ramadhan. Bulan yang dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Satu solat sunat bersamaan pahalanya dengan pahala solat fardu dalam bulan biasa. Bulan mulia yang pada awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, dan pengakhirnya kebebasan atau selamat daripada azab api neraka. Pada hari catatan ini ditulis, sudah masuk hari ketujuh kita berpuasa. Bermakna sudah seminggu kita berada dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Marilah kita sama-sama merenung sejenak mengenai amalan dan segala gerak kerja kita sejak hari pertama bulan Ramadhan sehinggalah ke waktu sekarang ini. Apakah sudah banyak amalan yang dijalankan atau masih lagi liat untuk melaksanakan amalan ibadat.
Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini terdapat satu malam yang teramat istimewa iaitu malam al-Qadar. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Alangkah baiknya kalau dapat kita laksanakan amal ibadat sebanyak mungkin pada malam yang istimewa itu. Namun, tidaklah bermakna kita hanya perlu tumpukan amalan pada malam akhir sahaja sedangkan malam-malam yang lain pada awal Ramadhan terlepas kosong begitu sahaja. Rasulullah s.a.w. menganjurkan umat baginda untu menghidupkan malam- malam dalam bulan Ramadhan. Marilah kita hidupkan dengan pelbagai amalan sunat yang disyariatkan oleh Islam. Pada bulan ini juga adalah sangat elok lagi molek untuk kita membaca al-Quran sehingga khatam jika mampu.
Selain itu, dalam bulan yang istimewa ini juga terdapat amalan sunat yang khusus ada hanya pada bulan ini tidak dalam bulan-bulan yang lainnya. Amalan itu ialah solat sunat Tarawih. Kita seharusnya merebut peluang keemasan ini kerana ganjaran pahala daripada melaksanakan amalan ini amat besar apatah lagi dalam bulan ini pahala dilipatgandakan oleh Allah s.w.t. Sudah tentu ada keistimewaannya disebalik amalan sunat ini serta ganjarannya kerana solat ini tidak terdapat dalam bulan-bulan yang lain. Alangkah baik jika solat ini dikerjakan dengan berjemaah dengan bacaan al-Quran yang dimulakan dari awal hingga khatam dalam sebulan Ramadhan jika berkesempatan kerana pahala membaca dan mendengar bacaan al-Quran paling tinggi nilainya jika dilakukan dalam solat. Ditambah pula dengan ganjaran pahala yang akan dilipatgandakan oleh Allah Taala dalam bulan puasa ini.
Dalam dunia yang semakin sibuk dengan halnya ini sudah semestinya terdapat antara kita yang sibuk dengan kerja. Ada antara kita yang bekerja hingga larut malam sehingga tidak sempat menunaikan solat sunat Tarawih di masjid dan surau. Walau bagaimanapun, janganlah jadikan ini sebagai penghalang kerana kita masih boleh menunaikan solat ini secara sendiri dalam kadar yang ringkas mengikut kemampuan diri. Memang solat ini sunat namun apa yang kita ingin tekankan di sini adalah betapa pentingnya untuk kita berebut-rebut mencari masa untuk memperbanyak bekalan akhirat yang lebih baik lagi kekal. Alangkah ruginya jika kita tidak menunaikan solat sunat Tarawih tetapi berpeluang pula untuk menonton televisyen di rumah. Adakah televisyen yang sekadar hiburan itu lebih penting daripada ibadat sunat? Sudah tentu tidak bahkan hal itu pula boleh menjadi lagha dan dosa kepada kita. Marilah kita sama-sama membentuk diri kita agar lebih kuat dalam mengawal hawa nafsu dalam bulan yang mulia ini dengan mengerjakan ibadat sunat selain ibadat wajib seperti puasa dan solat fardu.
Di samping itu, marilah kita sama-sama memperbanyak sedekah pada bulan Ramadhan ini. Dengan bersedekah kita dapat membantu golongan yang miskin dan memerlukan serta dapat membersihkan diri daripada sifat kedekut dan tamak dalam diri. Selain itu, hendaklah kita memelihara diri daripada melakukan perkara yang boleh menghapuskan pahala puasa kita dan bukan hanya menjaga diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa. Hal ini disebabkan ramai yang puasa tetapi apa yang merka dapat hanyalah lapar dan dahaga akibat habis pahala puasa kerana melakukan perkara yang dilarang dalam agama. Hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Rasul s.a.w. Ingatlah bahawa puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja tetapi perlu juga memelihara pandangan mata, telinga, mulut, kaki, tangan, dan keseluruhan anggota kita termasuklah hati. Jauhkanlah daripada bercakap banyak apatah lagi jika diisi dengan umpat-mengumpat dan kata mengata.
Insya Allah, kita akan mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t. jika kita bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadat puasa ini dengan sebaik mungkin. Semoga kita dapat mempertingkat kualiti amalan puasa kita serta memperbanyak amalan sunat yang lain dalam istimewa yang ditunggu-tunggu ini. Ya Allah, Dikau terimalah puasa dan amal ibadat kami yang lain dan Engkau jadikanlah hati kami ini ikhlas dalam mengerjakan amal ibadat hanya kerana-Mu.
-Tokdin Tuman- 17/08/10 ~ 08 Ramadhan 1431 H.
Subscribe to:
Posts (Atom)