Persoalan ini mula terbening dalam benak fikiran saya sejak sekian lama. Benarkah sebahagian kecil penggiat seni sudah hilang pedoman dan identiti diri sehinggakan sanggup menyerap apa sahaja hasil seni, pemikiran dan budaya Barat yang sememangnya tidak berpedoman dan beradat itu? Lihat saja fesyen yang ditonjolkan oleh para artis kita yang menjolok mata sudah cukup menggambarkan pengaruh asing yang jauh daripada budaya Timur yang sopan apatah lagi jika ditinjau dari sudut agama. Adakah artis tempatan sudah dirasuk sehingga terlalu memuja-muja budaya dan identiti seni Barat dalam kehidupan mereka. Namun apa yang membuatkan persoalan ini lebih rancak bergelora dalam benak fikiran adalah ketika saat saya membaca kenyataan tulus seorang pelakon yang baru hendak merangkak dalam industri seni tempatan. Katanya dia sanggup berbogel bagi babak mandi dalam sebuah filem yang juga telah mencetuskan sedikit riak-riak kontroversi dengan justifikasi bagi memenuhi keperluan watak yang dilakonkan.
Walau bagaimanapun, pada hemat saya yang bukanlah seorang jauhari dalam bidang seni ini adalah tidak patut bagi seorang pelakon berbogel dalam melakonkankan wataknya. Adakah perlu bagi seseorang pelakon melakonkan babak dalam sesuatu filem dalam keadaan yang memalukan seperti itu. Sebenarnya perwatakan dalam watak tidak hanya bergantung pada aspek luaran semata-mata apatah lagi bagi babak picisan seperti yang sedemikian. Sebaliknya apa yang lebih penting adalah penghayatan dari sudut dalaman yang tidak nampak dek mata kasar tetapi boleh dirasai oleh jiwa khalayak penonton. Perkara inilah yang sepatutnya ditekankan oleh para pelakon yang ingin menjiwai watak yang dilakonkan bukannya hanya pada babak luaran yang berkonotasi lucah. Jikalau pelakon-pelakon kita menganggap dengan melakonkan aksi-aksi yang seperti ini dapat membantu mereka dalam menghayati watak, mereka sebenarnya silap besar. Bahkan mereka akan memalukan diri sendiri dan apa yang lebih teruk adalah hal ini boleh membawa pengaruh negatif dalam masyarakat.
Di samping itu, bagi menyerlahkan lagi sifat dan karakter sesuatu watak, pelakon juga perlu mengambil berat akan aspek dialog, intonasi ketika melontarkan dialog lakonan, ekspresi atau mimik muka mahupun bahasa badan yang turut mempengaruhi mutu lakonan. Oleh itu, bagi menggambarkan sesuatu adegan atau babak yang berkonotasi negatif dan melibatkan perkara yang privasi adalah memadai dengan hanya menggunakan kiasan atau isyarat bagi babak tersebut. Dalam situasi pelakon yang dinyatakan tadi, tidak semestinya perlu menonjolkan adegan mandi secara keseluruhan apatah lagi jika tanpa seurat benang walaupun tidak ditunjukkan dalam filem sekalipun. Adakah dengan hanya menampilkan sebahagian badan misalnya dalam babak mandi itu menjejaskan mutu lakonan bagi filem itu.
Dalam masalah ini, para penggiat seni termasuklah penggiat seni filem perlulah sensitif atau peka terhadap isu-isu sensitif dalam budaya dan agama khususnya. Mereka boleh berdalih dengan apa saja alasan bagi mengharuskan sebarang adegan sensitif dan lucah dalam filem namun setiap penggiat seni mempunyai tanggungjawab dalam memastikan karya seni mereka tidak bercanggah dengan norma budaya setempat dan juga agama. Usahlah beralasan untuk memberi pengajaran kepada masyarakat dengan adegan picisan seperti itu kerana kaedah yang salah dan menyimpang tidak mungkin meluruskan keadaan yang sudah kusut dalam masyarakat. Memang benar realiti kehidupan masyarakat yang semakin dirundung masalah sosial yang teruk akan mempengaruhi intipati karya seni itu sendiri kerana seseorang pengkarya sejati akan memaparkan realiti kepincangan yang berlaku dalam masyarakat untuk tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, karya yang dihasilkan hendaklah berupaya mengadunkan persoalan seperti ini tanpa perlu memaparkan apa yang tidak sepatutnya ditayangkan. Yang sumbang tidak sepatutnya dihidangkan terus dalam keadaan sumbang begitu tetapi disulami dengan kiasan yang lebih berseni lagi bersopan. Di situlah letaknya tinggi rendahnya mutu sesuatu karya seni.
Seyogia diingatkan di sini akan satu pedoman atau prinsip yang harus dijadikan pegangan oleh setiap penggiat seni tidak kiralah pelakon, pengarah, penyanyi, penulis, dan karyawan yang lain. Penggiat seni agung adalah mereka yang mencorakkan pemikiran, budaya, dan akhlak masyarakat ke arah yang unggul lagi murni dan bukan sebaliknya yang akhirnya boleh menjahanamkan masyarakat. Hasilkanlah karya seni yang bukan hanya berkiblatkan kehendak masyarakat semata-mata tanpa disulami dengan unsur-unsur pengajaran dan didikan dalam membina masyarakat yang maju luaran dan dalamannya. Tamsilan yang mudah untuk dikongsi di sini adalah dengan melihat pada genre drama dan filem tempatan dewasa ini. Kebanyakannya bercorak seram yang jika dilihat pada sudut seni kurang nilainya apatah lagi dalam aspek ilmunya. Bukanlah tidak boleh dibuat cerita seram langsung tetapi jangan sampai tiada mesej dan ghaib seninya sehinggakan kebanyakannya boleh dikatakan sekadar picisan dan hampas yang menanti masa untuk dibuang. Sekadar boleh dijadikan bahan untuk semata-mata berhibur tanpa haluan. Penggiat seni tidak seharusnya terlalu mengikut kehendak penonton yang kebiasaannya tidak mengenal mana yang baik dan bermanfaat buat mereka. Janganlah terlalu mengejar keuntungan sehingga terlupa tujuan asal berkarya. Jadikanlah cabaran untuk meraih penonton dengan menghidangkan karya yang bukan saja memenuhi selera penonton tetapi juga berupaya mendidik masyarakat.
Akhir kalam, harapan setinggi gunung saya galaskan pada golongan penggiat seni tempatan untuk bangkit membuat anjakan paradigma dalam menghasilkan karya yang benar-benar tinggi mutunya dan bukan sekadar hampas yang menanti masa untuk dibuang. Bukalah horizon minda dengan selahar-laharnya, terima segala kritikan, dan berkaryalah dengan sebebas-bebasnya berpaksikan adat, budaya setempat, dan agama. Bagi yang terkhilaf terus bangkit daripada keterlanjuran, pohon kemaafan dan ubahlah kesilapan menjadi kejayaan. Janganlah ada antara penggiat seni kita yang bersikap evasif lalu lari daripada tanggungjawab mendidik masyarakat melalui karya yang matang. Agaknya bilakah revolusi karya seni di Malaysia bakal berlaku? Semoga apabila negara diumumkan maju nanti pada tahun 2020 industri seni tempatan turut sama maju dan matang.
-Tokdin Tuman-
No comments:
Post a Comment