Tuesday, April 10, 2012

Hujan & Makna Kehidupan- 1


Pernahkah kita terfikir mengenai hujan yang sentiasa turun membasahi alam ini. Jikalau di bumi Malaysia ini, hujan bukanlah satu perkara yang luar biasa sebagaimana hujan yang turun di kawasan gurun. Di gurun jumlah taburan hujan yang turun amatlah rendah sekali jika hendak dibandingkan dengan negara-negara di kawasan Asia Tenggara seperti Negara kita ini. Boleh jadi disebabkan terlalu biasa dengan hujanlah kita memandang remeh mengenai fenomena hujan. Hujan pada hakikatnya satu perkara yang menarik buat renungan kita bersama dalam usaha untuk memikirkan tentang kejadian alam ciptaan Tuhan yang Maha Esa ini.

       Apa yang menarik sangat dengan hujan ini? Adakah fakta-fakta menarik untuk dipelajari bersama? Secara mudahnya hujan merupakan satu unsur yang penting bagi kehidupan makhluk-makhluk yang hidup di muka bumi ini. Tidak kiralah manusia, tumbuhan ataupun haiwan. Semuanya ada satu pertalian erat antara hujan dan kehidupan. Sebagaimana yang semua maklum hujan terdiri daripada titisan air yang terkondensasi daripada wap-wap air yang terkumpul membentuk awan di kaki langit dunia. Wap-wap air yang semakin lama semakin padu dan berat akhirnya bertukar menjadi titisan lalu jatuh ke bumi disebabkan daya tarikan graviti. Percaya atau tidak tanpa adanya hujan manusia dan juga hidupan lain di muka bumi ini tidak dapat hidup dengan sempurna bahkan mungkin mati kehausan.

         Hujanlah penentu sesuatu kawasan itu subur atau tidak sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab al-Quran. Allah menyatakan bahawa Dialah yang berkuasa mengarahkah angin untuk meniup awan ke kawasan yang dikehendaki-Nya lalu menurunkan hujan ke bumi itu. Dahulunya kawasan bumi itu gersang kerana terlalu kering tetapi bertukar menjadi bumi yang subur disebabkan hujan yang turun itu tadi. Dinyatakan bahawa Allah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan daripada hujan yang turun ke bumi itu. Secara literalnya kita dapat melihat dengan hujanlah hidupan di bumi ini dapat berkembang biak dengan sempurnanya. Inilah satu pertalian erat dan penting antara hujan dan kehidupan.
Cukup dulu buat kali ini pasal hujan. Kalau ada peluang sambung lagi…
 Wasalam…T.T

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
UA-33750781-1