Tuesday, December 29, 2009

Ada Apa Dengan Cuti Semester

Kumulakan karangan ini dengan nama Allah yang maha Agung. Semoga segala apa yang dikerjakan oleh kita akan diberkati-Nya. Apa yang ingin disampaikan oleh diri ini melalui tajuk ‘Ada Apa Dengan Cuti Semester’ adalah untuk berkongsi pengalamanku ini serta pemerhatian terhadap gelagat siswa-siswi yang lain. Ada antaranya terdiri daripada kalangan sahabatku mahupun jiran tetangga. Cuti semester merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh setiap insan yang bergelar siswa di mana-mana Institut Pengajian Tinggi tidak kiralah IPTA ataupun IPTS. Yang pasti semuanya seronok dengan cuti semester. Namun terdapat pelbagai ragam yang agak menarik apabila kita memperkatakan mengenai soal cuti ini. Inilah sedikit hasil daripada pemerhatian dan pengalamanku yang kurang nilainya itu untuk dikongsi. Sekadar apa yang terdaya oleh kudrat kerdilku ini. Jika diikutkan tidaklah layak untuk aku menulis namun dek kerana hati sering dihinggapi perasaan untuk meluahkan segala pengalaman dan perasaan bersama insan lain.

Apa yang seronoknya cuti semester ini? Jawapannya tidak perlu diselidik atau dibuat kajian yang rumit. Persoalan ini boleh dijawab dengan mudah hatta oleh budak sekolah rendah sekalipun. Pertamanya, mereka sudah lama tidak pulang ke rumah setelah belajar selama empat lima bulan lamanya. Mungkin ada cuti ketika di kampus namun cuti yang pendek tidak dapat memuaskan hati untuk melepaskan rindu terhadap keluarga. Namun suasana ini tidak mungkin berlaku jika siswa itu belajar di dalam negeri yang sama atau berdekatan dengan rumah kediaman. Sudah tentu setiap minggu atau bulan mereka boleh pulang jika mahu. Usah dikira mereka yang tinggal dalam satu negeri, pelajar yang tinggal di negeri yang berjiran dengan kampus pun boleh balik hampir setiap minggu. Buktinya, aku sendiri mempunyai seorang kawan yang tinggal di Pulau Pinang. Dia sentiasa pulang ke kampung. Boleh dikatakan dalam sebulan dua tiga kali balik kampung walaupun dia sedang belajar di sebuah IPTA di negeri Perak. Oleh itu, kalau tinggal dekat dengan rumah pasti suasana seronok ketika pulang bercuti semester akan sedikit kurang meriah. Apatah lagi jika ada dalam kalangan kita yang belajar di rantau orang atau kata orang putihnya ‘oversea’. Walau bagaimanapun, sejauh mana sekalipun tempat kita belajar daripada rumah, kita masih lagi boleh berhubung dan berkelana pulang ke kampung dengan mudahnya. Dalam dunia yang begitu canggih ini, apatah lagi di Malaysia yang tercinta ini pasti sudah tidak kedengaran lagi pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung semasa musim perayaan. Jikalau adapun hanyalah segelintir yang tinggal di Sabah atau Sarawak dan belajar di semenanjung atau sebaliknya. Itupun bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk menanggung kos penerbangan ke kampung halaman.

Jika kita bandingkan suasana belajar sekarang dengan masa dulu, ibarat langit dengan bumi bezanya. Mengikut kata guru-guruku yang veteren, ketika belajar di universiti dahulu apabila tibanya hari raya. Mereka terpaksa beraya di kampus atau rumah sewa mereka kerana tidak dapat pulang beraya ke kampung. Bayangkan ketika orang lain seronok beraya bersama keluarga sedangkan kita keseorangan beraya di tempat orang. Hal ini disebabkan oleh kesukaran pengakutan dan juga kemampuan para pelajar ketika itu yang tidak mampu berbelanja untuk pulang. Betapa beruntungnya kita, pelajar zaman sekarang yang begitu mudah sekali untuk pulang dan berhubung dengan keluarga di kampung. Pada zaman ini, kerinduan terhadap keluarga tidaklah begitu mendalam berbanding dulu yang tidak ada lagi telefon bimbit dan internet. Telefon rumah pun tidak ramai yang mampu memilikinya. Usah hendak menelefon keluarga, telefon pun belum tentu ada. Pada masa itu, perhubungan terbaik adalah melalui surat atau telegram. Selain itu, kebanyakan pelajar zaman dahulu boleh dikatakan lebih matang dan pandai berdikari melalui pengalaman yang seperti itu. Patutlah ramai antara graduan hari ini menganggur sebabnya tidak begitu pandai berdikari dengan mencari dan mencipta peluang pekerjaan terutama dalam bidang keusahawanan. Semoga diriku ini boleh berdikari dalam melayari bahtera hidup yang sementara di dunia ini.

Selain itu, apa yang penting sangat cuti ini buat pelajar adalah peluang bagi mereka berehat dan masa untuk relaks setelah penat berhempas pulas dalam pelajaran; menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan, ulang kaji, dan persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir. Ada juga antara pelajar yang menjadikan masa cuti ini sebagai jalan untuk melepaskan tekanan semasa menghadapi peperiksaan. Waktu untuk melupakan sekejap ingatan terhadap peperiksaan yang terasa sukar untuk dijawab atau langsung tidak dapat dijawab. Siapa yang tidak tahu betapa tingginya tekanan ketika menghadapi peperiksaan tidak kiralah sama ada ketika sekolah, universiti, atau semasa bekerja? Tekanan pasti terasa apatah lagi jika peperiksaan itu menjadi batu pengukur untuk melayakkan diri untuk sesuatu perkara atau untuk mengekalkan purata nilai gred terkumpul (PNG) yang tinggi bagi pelajar universiti. Walau bagaimana penting pun peperiksaan itu, janganlah sampai kita menjadikan pembelajaran itu hanya bertujuan untuk cemerlang dalam peperiksaan semata-mata. Harus diingat peperiksaan hanyalah sekadar satu alat penimbang atau pengukur bagi tenaga pengajar bagi mengenal pasti sama ada seseorang pelajar itu faham atau tidak dalam setiap mata pelajaran. Apa yang lebih penting adalah kefahaman dan penguasaan segala cabang dalam sesuatu subjek yang diambil serta kebolehan untuk kita mengamalkan ilmu itu dalam reality kehidupan. Tiada gunanya ‘A’ dalam subjek matematik namun dalam kehidupan sebenar seperti dalam kerjaya tidak dapat menerapkan formula yang dipelajari untuk menyelesaikan masalah.

Namun dalam seronok bercuti itu ada banyak ragam dan kerenah para pelajar ini dalam mengisi masa lapang itu. Ada yang memanfaatkan masa cuti ini dengan bekerja sambilan sementara menghabiskan masa cuti. Dengan itu bolehlah mereka menambah duit ke dalam kocek. Maklumlah pelajar zaman sekarang rata-ratanya memerlukan wang perbelanjaan yang banyak. Sebabnya satu saja iaitu cara hidup yang lebih moden dan canggih. Dalam dunia teknologi ini penggunaan telefon bimbit atau selular ini semakin menjadi lumrah dan darah daging semua golongan muda-mudi. Apa yang hendak dihairankan dengan pelajar universiti yang memiliki telefon bimbit kerana budak-budak sekolah rendah pun sudah mula menggunakan telefon ini. Bukan sekadar telefon bimbit model biasa bahkan model yang lebih canggih dan tentu tinggi nilainya. Sehinggakan ada pelajar sekolah darjah tiga yang memakai telefon bimbit yang harganya mencecah empat angka. Berbalik kepada pelajar universiti ini, budaya memiliki telefon bimbit yang penuh dengan aplikasi atau peranti yang canggih dan mengikut trend semasa sudah menjadi perkara biasa. Oleh itu, tidak sedikit wang pinjaman, biasiswa atau wang pemberian ibu bapa yang digunakan untuk tujuan itu. Bukan ini saja, ada juga antara mereka yang suka keluar daripada kampus semasa cuti untuk berjalan-jalan makan angin di mana-mana kawasan perkelahan atau setidak-tidaknya pusat beli-belah; mereka menonton wayang, membeli-belah, ‘jamming’, dan bermacam-macam lagi . Semua ini menyebabkan mereka perlu mencari wang tambahan untuk memenuhi keperluan seperti ini. Kesimpulan mudahnya bekerja sambilan adalah cara terbaik untuk memenuhi masa cuti. Tidak kurang juga yang bekerja bukan semata-mata untuk mendapatkan sumber kewangan bagi memenuhi kehendak-kehendak seperti ini cuma sekadar untuk mendapatkan pengalaman dan menambah wang simpanan. Bagiku dalam setandan pisang tidak semuanya masak ranum, dalam banyak-banyak ular tidak semuanya berbisa.

Di samping itu, ada pula yang hanya tinggal di rumah tidak bekerja. Sehinggakan ada antara mereka yang berasa bosan disebabkan tiada aktiviti untuk dilakukan ketika masa senggang. Walhal tidak sedikit pekerjaan atau aktiviti yang boleh dibuat oleh mereka. Kerja-kerja seperti menolong keluarga dalam menguruskan hal ehwal rumah seperti ada yang berkebun dan membersihkan persekitaran rumah boleh dilaksanakan oleh mereka. Pada masa ini juga boleh dimanfaatkan untuk mengulang kaji pelajaran terutama bagi subjek yang kita lemah dalam menguasainya atau berusaha menambahkan pengetahuan melalui pembacaan serta meningkatkan pemahaman dalam agama misalnya. Masa-masa beginilah kita berpeluang menjadikan diri kita lebih berilmu dan berkemahiran. Apa yang lebih penting masa cuti inilah saat yang terbaik untuk meluangkan masa bersama keluarga. Adalah maklum bagi kita bahawa semenjak memasuki gerbang menara gading, dengan sendirinya kita sudah melangkah sebelah kaki ke dalam kehidupan berdikari ketika dewasa. Selepas tamat belajar nanti kita akan semakin sibuk dengan kerjaya masing-masing. Jika semasa belajar dahulu kita masih mempunyai waktu cuti yang panjang untuk bersama keluarga. Namun setelah bekerja kita hanya dapat meluangkan masa sepenuhnya bersama keluarga ketika hujung minggu dan cuti-cuti sahaja. Tidak ada lagi cuti panjang. Apatah lagi jikalau kita tinggal berjauhan daripada keluarga lagilah akan kurang masa untuk diluangkan bersama keluarga yang tercinta.

Sebagai intihanya, cuti semester itu banyak nilainya buat seorang insan bergelar mahasiswa. Kita pasti akan mengingati kenangan semasa di universiti setelah lama bekerja. Banyak kenangan indah semasa belajar di sana. Kenangan bersama rakan-rakan yang adakalanya bersikap nakal dan kehidupan semasa berada di kolej akan menjadi ingatan indah di hati. Tentunya memori tentang cuti semester ini menjadi salah satu kenangan terindah buat diri masing-masing. Namun, mungkin ada juga yang tidak bersetuju dengan apa yang kutulis ini. Ini hanyalah merupakan pandangan dan pengalaman yang dialami oleh setiap manusia yang tentunya tidak sama penerimaan dan perasaannya. Kata orang rambut sama hitam namun hati lain-lain. Walau bagaimanapun, aku berasakan tentu ramai yang menganggap kenangan sewaktu di universiti serta waktu cuti semester ini merupakan kenangan yang tidak kurang uniknya. Wassalam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
UA-33750781-1