Wednesday, March 3, 2010

Salam Buat Tengku



Kumulakan tulisan ini dengan nama Tuhan yang maha Pemurah lagi maha Pengasihani. Adalah menjadi tujuan di hati ini untuk memberikan sedikit nasihat kepada sahabat yang mungkin sedang membaca tulisan ini. Nasihat yang tidak seberapa dan mungkin juga tidak berapa tepat. Sayugia dinyatakan di sini mengenai kekerdilan diri ini dalam memberi sebarang nasihat. Oleh itu, segala apa yang ditulis di sini juga menjadi teguran dan peringatan buat diri yang menulis ini.
                Dalam hidup di dunia ini sudah pasti ada cabarannya. Perkara ini seakan lumrah yang sudah diketahui semua orang. Kalau kita toleh balik ke masa kecil dahulu kita sudah diingatkan hidup di dunia ini tentunya sukar terutama apabila dewasa. Namun sekadar hanya mengetahui hakikat hidup yang tidak pernah senang ini tidak cukup. Kita perlu bersedia untuk menghadapinya. Begitu jugalah bagi empunya diri ini yang hanya tahu menegur mungkin tidak juga sanggup menghadapi kenyataan sebenar dalam hidup. Hal ini disebabkan cakap-cakap dan realiti tidak sama. Ingatlah firman Allah s.w.t. dalam surah al-Balad yang maksudnya lebih kurang begini “sesungguhnya manusia itu diciptakan dalam keadaan bersusah-payah (atau sukar).” Justeru, nyatalah bagi kita hakikat insan yang dicipta itu dalam keadaan yang sukar. Sukar kerana sejak lahir perlu menempuh kelahiran yang menyakitkan dan boleh mengancam nyawa. Ketika kecil tidak berupaya makan minum sendiri. Kita perlu bergantung sepenuhnya kepada ibu dan bapa. Selain itu, hal ini juga membayangkan realiti hidup dalam dunia yang fana ini yang penuh liku. Inilah kenyataan yang perlu diterima oleh setiap insan.
                Setelah mengetahui hakikat ini, kita tidak perlulah pening kepala dan susah hati bertanyakan diri kenapa sering ditimpa kesusahan yang seakan-akan tidak putus itu. Ingatlah Allah Taala ingin menguji kita. Ada sepotong hadis Nabi s.a.w. yang bunyinya seperti ini, janganlah sesorang itu menyatakan dirinya itu beriman selagi mana ia belum diuji oleh Allah s.w.t. Hadis ini menunjukkan kepada kita jangan mendabik dada atau cepat mengatakan yang aku sudah beriman yakni imannya telah kuat selagi mana keimanan belum teruji. Ujian iman itu tidak sama tahapnya bergantung kepada tahap iman seseorang. Kata ulama semakin kuat iman seseorang itu akan semakin kuatlah cabarannya. Jadi bersikap positiflah ketika menerima musibah, kesukaran, dan apa jua cabaran dalam hidup kerana hal itu menjadi sebab bagi kekuatan iman kita. Selain itu, hadis ini juga membayangkan kepada kita yang hidup di dunia ini pasti akan diuji dengan cabaran. Tidak akan berjaya insan yang tidak pernah menerima kesakitan atau jalan yang sukar untuk mendapatkannya. Seingatku ada kata-kata yang kalau tidak silap daripada ucapan Imam Al-Syafie r.h.m. yang bunyinya seseorang itu tidak akan mempelajari sebarang ilmu kalau tidak sanggup dimarahi guru. Mungkin ayatnya tidak tepat tetapi begitulah bunyinya. Walaupun lebih menjurus kepada soal ilmu namun nasihat itu juga boleh juga digunakan dalam kehidupan. Kalau tak sanggup menerima sakit mustahil kita akan berjaya. Kata orang tua-tua kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Dalam peribahasa orang putih pula ada mengatakan “no pain no gain”-kalau tidak berusaha kita tidak akan mendapat sesuatu yang diinginkan. Ringkasnya, marilah sahabatku dan diriku sendiri kita menguatkan diri menghadapi cabaran hidup.

                Cabaran dalam hidup itu banyak jenisnya. Namun apa yang inginku nyatakan di sini cabaran dalam membuat keputusan atau pilihan dalam hidup ini. Kuakui dalam membuat pilihan terutamanya dalam soal hala tuju hidup kita sememangnya sukar. Seperti juga Tengku yang dalam dilema ketika memilih jurusan pengajian. Bidang yang kita ambil sebenarnya banyak menentukan hidup kita pada masa depan. Oleh yang sedemikian, pilihlah dengan teliti. Rujuklah orang tua yang lebih berpengalaman namun mesti diingat jangan terlalu mengikut kata orang tanpa mempedulikan langsung kehendak hati dan kemampuan diri. Hatta ibu bapa sendiri pun jika sememangnya pilihan mereka amat tidak sesuai dengan keinginan dan kemampuan diri. Perlulah kita berbincang dengan sebaik-baiknya bersama mereka agar tidak menderhakai ibu bapa serta tidak mengorbankan diri. Ingatlah dalam Islam menderhaka terhadap ibu bapa itu satu dosa besar. Di samping itu, dalam membuat apa-apa perkara kebaikan dalam hidup ini hendaklah mengutamakan diri sendiri. Bukti kita perlu mengutamakan diri dalam melakukan sesuatu kebaikan adalah berdasarkan hukum fiqh yang menghukumkan makruh bagi seseorang itu mengutamakan orang lain daripada diri sendiri untuk ke saf hadapan dalam solat. Hal ini disebabkan kita tidak seharusnya membelakangkan diri sendiri dalam kebajikan dan ketaatan kepada Tuhan. Namun hal ini tidak bermaksud kita mementingkan diri sendiri. Perlu diingat jangan terlalu mengambil berat akan perihal orang lain sehingga diri terkorban sebegitu teruk. Bersederhanalah dalam setiap perbuatan. Inilah yang disuruh oleh Baginda s.a.w. kepada umatnya. Ingatlah diri kita ini juga amanah yang perlu dijaga jangan dizalimi dengan membiarkan diri dalam kegagalan. Selain itu, janganlah kita meletakkan diri atau mendedahkan diri terhadap bahaya. Begitu juga jikalau dalam soal masa depan kita tidak cakna atau mengambil berat boleh mendedahkan diri kepada bahaya iaitu gagal dalam hidup.
                Kalau kita terasa buntu dalam menentukan pilihan ingatlah untuk berdoa memohon kepada Allah Taala. Buatlah solat sunat istikharah untuk memohon petunjuk dalam membuat pilihan terbaik. Pilihan yang terasa baik pada masa ini tidak semestinya baik untuk kita pada masa depan. Oleh itu, mintalah petunjuk daripada-Nya yang mengetahui apa yang berada di hadapan dan di belakang kita. Maksudnya Allah  al-‘Alim itu maha mengetahui apa yang akan berlaku dan yang sudah pun terjadi. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud “mintalah kepadaku nescaya aku akan kabulkan permintaan kamu.” Jikalau tertekan dengan perkara ini bermunajatlah kepada Tuhan agar diberi ketenangan. Bacalah al-Quran kerana al-Quran itu menjadi penawar bagi kita. Berzikirlah kepada-Nya nescaya hati kita akan tenang.-31/12/2009-
                                 

Ingat-Ingatan Buat Insan Yang Lupa




Kubur setiap hari menyeru  manusia sebanyak lima (5) kali...
1.    Aku rumah yang terpencil maka kamu akan senang dengan selalu membaca al-Quran.
2.    Aku rumah yang gelap maka terangilah aku dengan selalu solat malam.
3.    Aku rumah yang penuh dengan tanah dan debu, bawalah amal soleh untuk dijadikan hamparan.
4.    Aku rumah bagi ular berbisa maka bawalah amal Bismillah sebagai penawar.
5.    Aku rumah bagi pertanyaan Mungkar dan Nakir maka banyakkanlah bacaan “Laa ilaahaillallah, Muhammadar Rasulullah”, supaya kamu mendapat jawapan daripadanya.

Lima Jenis Racun & Lima Penawarnya...
1.    Dunia itu racun, zuhud itu penawar baginya.
2.    Harta itu racun, zakat itu ubat buatnya.
3.    Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir penawarnya.
4.    Seluruh umur itu racun, taat jua ubatnya.
5.    Seluruh tahun itu racun, Ranadhan penawarnya.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda mafhumnya:
“Ada 4 perkara dipandang sebagai ibu”, yang demikian itu adalah:
1.    Ibu daripada segala UBAT ialah SEDIKIT MAKAN.
2.    Ibu daripada segala ADAB ialah KURANG BERBICARA.
3.    Ibu daripada segala IBADAT ialah TAKUT BERBUAT DOSA.
4.    Ibu daripada segala CITA-CITA ialah SABAR.

Berpesan-pesanlah kepada kebenaran dan kesabaran.
Beberapa kata renungan daripada al-Quran:
Orang yang meninggalkan solat:
Subuh: Dijauhkan cahaya muka yang bersinar.
Zohor: Tidak diberikan berkah dalam rezekinya.
Asar: Dijauhkan daripada kesihatan/kekuatan.
Maghrib: Tidak diberi santunan oleh anak-anaknya.
Isyak: Dijauhkan kedamaian dalam tidurnya.

-Kukutip daripada artikel Surau Pasir Salak, UiTM Perak-

Meraih Ketenangan



Dalam hidup di dunia ini, kita pasti akan dirundum dengan pelbagai masalah dan keadaan. Adakalanya kita berduka, ada juga gembira, dan penuh dengan tekanan serta fikiran yang kusut. Mungkin ada antara kita yang pernah terfikir apakah ada penyelesaian terhadap segala apa yang telah berlaku. Setiap manusia pasti akan merasai pahit maung hidup ini. Masalah seseorang itu tidak sama besarnya. Lain orang lain masalahnya. Adakah ada satu ketenangan dan penyelesaian dalam setiap apa yang berlaku terhadap kita? Adakah ada kegembiraan yang sebenar? Itu antara persoalan yang mungkin timbul dan sememangnya wujud dalam diri seorang yang hilang punca atau terkaram dalam lautan masalah.
            Jawapan bagi persoalan itu ialah ya, memang wujud ketenangan dan kegembiraan dalam hidup ini. Namun tidak semua yang dapat mengecapinya. Lantas siapakah insan bertuah yang dapat mengecapi kegembiraan, ketenangan, dan kepuasan hidup di dunia ini? Mereka tidak lain adalah golongan yang mengenal asal usul diri mereka sendiri. Dari mana mereka datang dan untuk apa mereka dilahirkan ke dunia ini. Mereka adalah insan yang mengenal siapakah yang menciptakan seluruh alam ini. Justeru hanya orang yang taat kepada ajaran agama iaitu agama Islam sahaja yang boleh mengecapi kemanisan hidup di dunia ini. Mereka boleh berasa tenang dan bahagia dengan ketenangan dan kebahagian yang hakiki.
            Malangnya tidak ramai pula orang yang taat pada perintah Tuhan.  Hanya dengan taat yang sebenar-benar taat hati akan tertaut kepada ketenangan. Namun, kebahagian yang sebenar bukan di dunia ini sebaliknya di akhirat yang kekal selama-lamanya. Ramai yang memperoleh nikmat seperti kaya, berpangkat tinggi, beristeri dan beranak tetapi tidak begitu bahagia dengan erti yang sebenar. Mereka telah terperangkap dengan nikmat dunia yang sekejap sehingga menghabiskan tenaga dan masa untuk dunia. Pada mulanya mereka berasa cukup bahagia dengan apa yang diperolehi namun setelah beberapa lama akan mula terasa seakan ada yang tidak cukup dalam diri mereka. Walau harta telah menggunung, mereka kehilangan rasa cukup dengan apa yang ada. Mulai hilang ketenangan hidup dan bahagia. Apatah lagi jika mereka telah terlanjur terlibat dengan perkara yang dilarang oleh Allah Taala - tidak mengeluarkan zakat, meninggalkan solat, memakan riba, menerima rasuah, menipu, menindas orang lain, berzina, dan sebagainya. Akan terserlah lagi perasaan tidak aman tenteram dalam jiwa.
            Oleh itu, marilah kita sama-sama memeriksa diri dan mengubah apa yang silap dan kurang. Bertaubatlah jika sebelum ini kita terlibat dalam perkara maksiat dan lalai daripada mengingati Tuhan. Allah itu maha pengampun dan penyayang serta maha pemurah terhadap hamba-hamba-Nya. Walau dosa tinggi menggunung atau sebanyak air di lautan, jika ikhlas bertaubat kepada-Nya pasti akan diampunkan-Nya, Insya Allah.-20/02/2010-

Insan Zaman Ini



Mana perginya insan yang berjiwa bersih? Mana perginya insan yang bercakap benar? Mana perginya insan yang berhati riang? Yang suka akan kebaikan buat orang lain. Mana perginya tempat buat orang yang berhati mulia? Pada zaman yang kononnya moden ini, manusia yang berperangai dan berakhlak mulia dianggap kekampungan. Gadis yang berpakaian sopan dipanggil kolot dan tidak mengikut perkembangan semasa. Bahkan orang yang menurut agamanya -lebih tepat agama Islam- dianggap tidak moden, konservatif, kuno, jumud, dan bermacam-macam lagi gelaran. Mungkin sesetengah yang diutarakan oleh saya ini agak keterlaluan dan masih belum berlaku atau jarang-jarang berlaku. Namun saya yakin wujudnya insan yang menganggap mereka yang berakhlak mulia dan taat beragama ini seperti yang disebutkan di atas walau tidak seteruk itu.
                Apa yang banyak berlaku hari ini tidak lain hanyalah lawan kepada apa yang tertera sebelum ini. Ramai manusia yang berhati busuk. Busuk dengan dengki dan dendam atau permusuhan. Manusia pada hari ini lebih mementingkan kebendaan atau dalam bahasa Inggerisnya digelar materialistik. Berapa ramai pegawai dan kakitangan kerajaan yang memakan suap atau rasuah demi ganjaran yang tidak seberapa berbanding padah yang akan dihadapinya. Memang denda atau hukuman yang akan dikenakan kadangkala tidak seberat mana jika dibandingkan dengan habuan yang diperoleh melalui duit suapan itu. Namun sebagai insan yang bertuhan dan beragama seharusnya ingat kehidupan ini tidak terhenti setakat di dunia sahaja. Sebaliknya perjalanan masih panjang di akhirat nanti. Setiap apa yang dibuat pasti akan dinilai dan diberi balasan yang setimpal. Hukumnya mudah, buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Walau bagaimanapun, manusia dewasa ini sudah tidak ingat akan akhirat bahkan lupa akan agama sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu yang berkehendakan harta dan sebagainya. Ada juga yang ingat akan akhirat tetapi buat-buat lupa.
                Itulah akibatnya jika agama dikesampingkan dalam kehidupan. Manusia tidak jadi manusia lagi. Berapa ramai yang semakin teruk dalam perhubungan sosialnya. Terutamanya mereka yang tinggal di kota-kota besar. Mereka sudah terlalu ‘sosial’ bak kata orang zaman sekarang. Hubungan sesama lelaki dan perempuan sudah bebas sebebasnya. Sehinggakan berapa banyak berita kehamilan luar nikah yang berlaku dalam masyarakat. Tidak termasuk kes seks luar nikah yang berlambakan pada hari ini. Sekarang ini heboh di dada akhbar Malaysia ini kes-kes pembuangan bayi. Apa yang pasti hal ini tidak berlaku melainkan jika ada masalah seks bebas pada hari ini. Jarang sekali kita mendengar pasangan suami isteri yang membuang bayi mereka. Kalau pun ada diberinya kepada orang lain. Hal ini membuktikan bahawa masalah sosial dan akhlak yang semakin teruk dalam masyarakat kita. Apa yang menyedihkan majoriti kes seperti ini dipelopori muda-mudi Melayu yang beragama Islam.
                Dari segi berpakaian pula, muda-mudi terutamanya gadis-gadis sudah semakin teruk jadinya dengan pakaian yang bukan saja mendedahkan aurat bahkan pakaian yang seksi ke tahap menyakitkan mata. Apabila ditanya jawabnya fesyen masa kini. Tidak salah untuk sesiapa berfesyen, namun jangan sampai melampaui batas-batas agama dan budaya ketimuran. Dalam Islam sekalipun tidak ada fesyen tertentu yang mesti diikuti melainkan etika berpakaian yang menutup aurat sahaja. Persoalan di sini, apakah ibu bapa remaja ini tidak pernah menasihati anak-anak mereka? Mana perginya peranan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka menjadi anak yang berakhlak? Hal ini seterusnya membawa kita kepada masalah keruntuhan institusi keluarga. Kalau institusi keluarga semakin runtuh bagaimana anak-anak yang berakhlak dapat diwujudkan. Apa yang lebih teruk ibu bapa sendiri sudah tidak betul perangainya. Bak kata orang tua-tua ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Sudah pasti sukar atau mustahil terlaksana kerana anak-anak telah dihidangkan dengan contoh teladan yang terlalu ‘baik’ oleh ibu bapa mereka.
                Untuk memikirkan persoalan institusi keluarga sudah cukup mengharukan dan merunsingkan kita apatah lagi jika ingin memikirkan masalah masa depan negara ini jika permasalahan ini tidak diselesaikan. Apakah ubat mujarab bagi menyembuhkan penyakit masyarakat ini? Ubat yang paling mujarab tidak lain hanyalah kembali kepada hidup beragama. Hal ini disebabkan hanya dengan beragama insan dapat memastikan segala tindakan mereka itu tidak mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri. Hidup tanpa pedoman agama ibarat layang-layang terputus tali. Hidup terumbang-ambing dek tiada pedoman. Sekali terjunam ke tanah susah untuk bangkit kembali. Apabila saya memikirkan hal ini teringat kembali kata-kata Ibnu Khaldun, sejarawan agung Islam yang mengatakan (kalau tidak salah seperti ini) sesuatu tamadun itu akan melalui beberapa fasa dalam kegemilangannya. Setelah fasa kemuncak kegemilangannya akan datang satu fasa yang mana masyarakat akan hanyut dengan kemewahan yang ada hasil usaha generasi dahulu yang akhirnya terjebak ke dalam keruntuhan sesuatu tamadun itu. Lagaknya kita ini seakan menghadapi fasa keruntuhan nilai masyarakat yang jika tidak diperbaiki akan membawa kepada keruntuhan negara. Nauzubillah daripada berlaku hal yang sedemikian.
                Walau apa sekalipun, kita jangan hairan yang negara kita ini boleh jadi rosak dek rakyatnya yang rosak akhlak dan hilang agama. Jangan sampai Islam hanya tinggal nama sebaliknya hakikat yang berlaku seperti negara sekular yang lain. Yang bertuhankan akal manusia yang dangkal dalam mentadbir diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Akal itu tiada sempurna dan pendek pula jangkauannya. Bergunalah akal selagi mana berpaksikan tuntutan agama. Dalam menyelesaikan masalah ini harus digarap usaha yang terancang dan langkah untuk jangka masa panjang. Sudah tentu usaha ini harus dimulakan dengan mewujudkan insan yang cemerlang yang sukar dilaksanakan. Moga-moga kita dapat melahirkan kembali insan yang berakhlak mulia dan memperbaik insan yang rosak akhlaknya. Setiap insan yang ada itu aset bernilai bagi sesuatu negara. -19/02/10-

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
UA-33750781-1