Wednesday, March 3, 2010

Insan Zaman Ini



Mana perginya insan yang berjiwa bersih? Mana perginya insan yang bercakap benar? Mana perginya insan yang berhati riang? Yang suka akan kebaikan buat orang lain. Mana perginya tempat buat orang yang berhati mulia? Pada zaman yang kononnya moden ini, manusia yang berperangai dan berakhlak mulia dianggap kekampungan. Gadis yang berpakaian sopan dipanggil kolot dan tidak mengikut perkembangan semasa. Bahkan orang yang menurut agamanya -lebih tepat agama Islam- dianggap tidak moden, konservatif, kuno, jumud, dan bermacam-macam lagi gelaran. Mungkin sesetengah yang diutarakan oleh saya ini agak keterlaluan dan masih belum berlaku atau jarang-jarang berlaku. Namun saya yakin wujudnya insan yang menganggap mereka yang berakhlak mulia dan taat beragama ini seperti yang disebutkan di atas walau tidak seteruk itu.
                Apa yang banyak berlaku hari ini tidak lain hanyalah lawan kepada apa yang tertera sebelum ini. Ramai manusia yang berhati busuk. Busuk dengan dengki dan dendam atau permusuhan. Manusia pada hari ini lebih mementingkan kebendaan atau dalam bahasa Inggerisnya digelar materialistik. Berapa ramai pegawai dan kakitangan kerajaan yang memakan suap atau rasuah demi ganjaran yang tidak seberapa berbanding padah yang akan dihadapinya. Memang denda atau hukuman yang akan dikenakan kadangkala tidak seberat mana jika dibandingkan dengan habuan yang diperoleh melalui duit suapan itu. Namun sebagai insan yang bertuhan dan beragama seharusnya ingat kehidupan ini tidak terhenti setakat di dunia sahaja. Sebaliknya perjalanan masih panjang di akhirat nanti. Setiap apa yang dibuat pasti akan dinilai dan diberi balasan yang setimpal. Hukumnya mudah, buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Walau bagaimanapun, manusia dewasa ini sudah tidak ingat akan akhirat bahkan lupa akan agama sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu yang berkehendakan harta dan sebagainya. Ada juga yang ingat akan akhirat tetapi buat-buat lupa.
                Itulah akibatnya jika agama dikesampingkan dalam kehidupan. Manusia tidak jadi manusia lagi. Berapa ramai yang semakin teruk dalam perhubungan sosialnya. Terutamanya mereka yang tinggal di kota-kota besar. Mereka sudah terlalu ‘sosial’ bak kata orang zaman sekarang. Hubungan sesama lelaki dan perempuan sudah bebas sebebasnya. Sehinggakan berapa banyak berita kehamilan luar nikah yang berlaku dalam masyarakat. Tidak termasuk kes seks luar nikah yang berlambakan pada hari ini. Sekarang ini heboh di dada akhbar Malaysia ini kes-kes pembuangan bayi. Apa yang pasti hal ini tidak berlaku melainkan jika ada masalah seks bebas pada hari ini. Jarang sekali kita mendengar pasangan suami isteri yang membuang bayi mereka. Kalau pun ada diberinya kepada orang lain. Hal ini membuktikan bahawa masalah sosial dan akhlak yang semakin teruk dalam masyarakat kita. Apa yang menyedihkan majoriti kes seperti ini dipelopori muda-mudi Melayu yang beragama Islam.
                Dari segi berpakaian pula, muda-mudi terutamanya gadis-gadis sudah semakin teruk jadinya dengan pakaian yang bukan saja mendedahkan aurat bahkan pakaian yang seksi ke tahap menyakitkan mata. Apabila ditanya jawabnya fesyen masa kini. Tidak salah untuk sesiapa berfesyen, namun jangan sampai melampaui batas-batas agama dan budaya ketimuran. Dalam Islam sekalipun tidak ada fesyen tertentu yang mesti diikuti melainkan etika berpakaian yang menutup aurat sahaja. Persoalan di sini, apakah ibu bapa remaja ini tidak pernah menasihati anak-anak mereka? Mana perginya peranan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka menjadi anak yang berakhlak? Hal ini seterusnya membawa kita kepada masalah keruntuhan institusi keluarga. Kalau institusi keluarga semakin runtuh bagaimana anak-anak yang berakhlak dapat diwujudkan. Apa yang lebih teruk ibu bapa sendiri sudah tidak betul perangainya. Bak kata orang tua-tua ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Sudah pasti sukar atau mustahil terlaksana kerana anak-anak telah dihidangkan dengan contoh teladan yang terlalu ‘baik’ oleh ibu bapa mereka.
                Untuk memikirkan persoalan institusi keluarga sudah cukup mengharukan dan merunsingkan kita apatah lagi jika ingin memikirkan masalah masa depan negara ini jika permasalahan ini tidak diselesaikan. Apakah ubat mujarab bagi menyembuhkan penyakit masyarakat ini? Ubat yang paling mujarab tidak lain hanyalah kembali kepada hidup beragama. Hal ini disebabkan hanya dengan beragama insan dapat memastikan segala tindakan mereka itu tidak mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri. Hidup tanpa pedoman agama ibarat layang-layang terputus tali. Hidup terumbang-ambing dek tiada pedoman. Sekali terjunam ke tanah susah untuk bangkit kembali. Apabila saya memikirkan hal ini teringat kembali kata-kata Ibnu Khaldun, sejarawan agung Islam yang mengatakan (kalau tidak salah seperti ini) sesuatu tamadun itu akan melalui beberapa fasa dalam kegemilangannya. Setelah fasa kemuncak kegemilangannya akan datang satu fasa yang mana masyarakat akan hanyut dengan kemewahan yang ada hasil usaha generasi dahulu yang akhirnya terjebak ke dalam keruntuhan sesuatu tamadun itu. Lagaknya kita ini seakan menghadapi fasa keruntuhan nilai masyarakat yang jika tidak diperbaiki akan membawa kepada keruntuhan negara. Nauzubillah daripada berlaku hal yang sedemikian.
                Walau apa sekalipun, kita jangan hairan yang negara kita ini boleh jadi rosak dek rakyatnya yang rosak akhlak dan hilang agama. Jangan sampai Islam hanya tinggal nama sebaliknya hakikat yang berlaku seperti negara sekular yang lain. Yang bertuhankan akal manusia yang dangkal dalam mentadbir diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Akal itu tiada sempurna dan pendek pula jangkauannya. Bergunalah akal selagi mana berpaksikan tuntutan agama. Dalam menyelesaikan masalah ini harus digarap usaha yang terancang dan langkah untuk jangka masa panjang. Sudah tentu usaha ini harus dimulakan dengan mewujudkan insan yang cemerlang yang sukar dilaksanakan. Moga-moga kita dapat melahirkan kembali insan yang berakhlak mulia dan memperbaik insan yang rosak akhlaknya. Setiap insan yang ada itu aset bernilai bagi sesuatu negara. -19/02/10-

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
UA-33750781-1