Tuesday, September 14, 2010

Komen Iklan Raya TV3

Ini adalah satu komen yang dihantar kepada ruangan forum Utusan Malaysia berkenaan iklan raya oleh TV3, walau bagaimanapun terdapat beberapa pengubahsuaian perkataan yang digunakan. Sebagai contoh saya tidak pernah menamakan stesyen TV terbabit namun diedit oleh pihak Utusan dengan meletakkan nama stesyen TV3. Adalah diakui benar stesyen yang dinyatakan itu namun adalah menjadi prinsip saya untuk tidak menamakan pihak yang terbabit dalam sesuatu isu. Apa pun tidaklah menjadi satu yang salah kerana iklan itu juga disiarkan kepada umum. Inilah komennya;

 

"SAYA ingin menyampaikan satu pendapat mengenai satu iklan raya oleh televisyen terkemuka tanah air, TV3.

Dalam iklan tersebut dipaparkan seorang pak cik tua yang menaiki sebuah beca yang digambarkan boleh terbang. Adalah sedia maklum pada kita bahawa dalam perayaan Krismas terdapat kepercayaan mengenai Santa Claus yang akan menghantar hadiah kepada kanak-kanak melalui kereta terbang rusa kutub.

Oleh yang sedemikian, terdapat persamaan itu dalam iklan ini yang boleh menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan anak-anak muda yang masih kurang pemahaman mereka mengenai hakikat ini.

Walau bagaimanapun, tidak kiralah kita faham hakikat sebenar atau tidak, sepatutnya pihak stesen televisyen tersebut haruslah bertanggungjawab memastikan iklan yang akan disiarkan tidak menyentuh sensitiviti agama Islam atau agama lain.

Mungkin pihak tersebut tidak tersedar akan perkara ini serta berniat mulia untuk menyelitkan mesej 1Malaysia yang diuar-uarkan pada masa ini.

Namun semangat 1Malaysia yang sebenarnya bukanlah bermakna kita mencampurgaulkan persoalan berkaitan sensitiviti agama. Janganlah dengan iklan yang seperti ini membuatkan harapan murni pucuk pimpinan negara berkecai akibat timbulnya isu sensitiviti agama ini atau menjahanamkan agama Islam itu tersendiri. Ingatlah perayaan Aidilfitri bukanlah adat Melayu tetapi soal ibadat agama Islam. Kesuciannya harus dipertahankan.

Sardini Tuman"

 


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
UA-33750781-1