Wednesday, September 15, 2010

SKMM Perlu Bertindak Bukan Hanya Beri Amaran

Merujuk kepada kenyataan yang disiarkan dalam akhbar mengenai amaran oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberi amaran keras terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi bagi menggugat keharmonian dan sensitiviti pelbagai kaum dalam negara.

    Sudah semestinya kenyataan ini amat dialu-alukan oleh rakyat kita yang cinta akan keharmonian dalam kehidupan pelbagai kaum di negara ini. Namun apa yang dikesalkan tindakan yang diambil oleh pihak SKMM terhadap pihak yang terbabit seakan-akan lembap. Buktinya terdapat banyak pihak akhbar tertentu termasuk laman blog yang berlambak-lambak dalam internet yang menjalankan provokasi terhadap isu-isu sensitiviti pelbagai kaum dalam negara ini namun terlepas begitu sahaja. Malah mereka semakin galak menabur provokasi dalam isu-isu sensitif. 

    Tidak dinafikan sebarang tindakan memerlukan siasatan rapi dan bukti yang cukup. Walau bagaimanapun, adakah hal ini menjadi satu penghalang kepada sebarang tindakan yang sepatutnya dikenakan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab itu. Sedangkan sudah terdapat banyak laporan polis dan juga bukti yang nyata mengenai tindakan yang mengganggu-gugat sensitiviti rakyat pelbagai kaum dalam negara ini dalam sesetengah kes tertentu tetapi pihak SKMM seperti tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya.

    Oleh yang sedemikian, adalah menjadi harapan rakyat Malaysia untuk melihat tindakan yang tegas dan pantas daripada pihak SKMM terhadap sebarang pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Bukannya sekadar kenyataan dan amaran semata-mata. Tiada gunanya kita rancak dalam membuat kenyataan tanpa ada tindakan yang muktamad. Rakyat akhirnya boleh hilang kepercayaan terhadap pihak SKMM.

    Satu perkara lagi, pihak SKMM juga haruslah mengambil tindakan terhadap laman web dan blog yang memaparkan maklumat atau bahan yang berunsur pornografi atau juga diistilahkan sebagai lucah walau tidak begitu tepat dari segi maknanya. Perkara ini juga sudah menjadi begitu serius pada hari ini. Apa yang pasti laman-laman pornografi tumbuh bak cendawan tanpa adanya sebarang tindakan terhadap laman yang berdaftar di negara ini atau sebarang sekatan terhadap laman dari luar negara. Perkara ini saya pasti merupakan salah satu punca utama keruntuhan akhlak remaja kita.

    Akhir sekali, bukanlah maksud saya untuk membuat tuduhan bahawa pihak SKMM tidak efektif namun sekadar meluahkan apa yang sepatutnya dilakukan agar negara akan lebih harmoni daripada elemen buruk serta provokasi yang berniat jahat terhadap negara. Semoga SKMM dan badan-badan kerajaan yang lain akan lebih proaktif dalam menghadapi ancaman ini.

-Sardini Tuman-


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
UA-33750781-1