Thursday, December 30, 2010
"Terusir" Buah Tangan Buya Hamka
Ngauman Harimau Malaya - Takluk Piala AFF Suzuki
Sekalung tahniah dan syabas buat pasukan bola sepak negara atau lebih dikenali dengan nama jolokan, Harimau Malaya atas kemenangan dalam Piala AFF Suzuki 2010 pada malam ini yakni tanggal 29 Disember 2010. Nyata kemenangan 3-0 ditempat sendiri pada perlawanan sebelum ini memberi kelebihan buat pasukan kita.
Jikalau ditinjau corak permainan pada perlawanan akhir kedua pada malam ini, nampak banyak juga asakan yang dibuat oleh Harimau Malaya ke gawang lawan namun serangan pasukan Indonesia nyata tidak kurang hebatnya. Pada separuh masa pertama, banyak sekali peluang dan ruang bagi pasukan Garuda untuk merembat gol namun ternyata nasib kurang menyebelahi pasukan Indonesia kerana sering saja rembatan ke pintul gol dapat diselamatkan oleh penjaga gol negara.
Walau bagaimanapun, gerak langkah pemain kita pada separuh masa kedua nampaknya tertahan di laman gol sendiri kerana sering saja diserang hebat oleh pemain Indonesia yang tetap cekal mengejar gol. Namun, beberapa kali terlepas jua tampangan dan halangan pemain lawan lalu dapat menerobos bola ke laman gol lawan yang akhirnya membuahkan hasil apabila Safee Sali berjaya mengegarkan gol Stadium Bung Karno. Ternyata menjadi pemecah gol pertama perlawanan.
Gegaran gol pertama perlawanan ternyata tidak menjatuhkan semangat pemain Indonesia untuk giat menyerang dan terus menyerang ke gawang Malaysia. Sehingga jelaslah bola lebih tertumpu pada sebelah padang gol Malaysia akibat serangan bertalu-talu mereka. Usaha tampa mengenal penat lelah mereka akhirnya membuahkan hasil dengan dua gol. Salah satunya hasil kesilapan tandukan pemain kita yang terus menghalakan bola ke gawang Malaysia. Manakala satu gol lagi akibat kelalaian pertahanan kita yang melepaskan pemain Indonesia yang berada di kanan gawang gol tanpa kawalan setelah cubaan menghalang oleh dua pertahanan negara gagal menghalang bola ke gawang gol negara.
Pasukan Garuda |
Pasukan Harimau Malaya |
Rajagobal |
Safee Sali - Penjaring Terbanyak Piala AFF Suzuki 2010 |
-Tokdin Tuman-
Wednesday, December 8, 2010
Salam Maal Hijrah 1432
Sunday, November 14, 2010
Raya Korban Dah Datang!!
Thursday, September 16, 2010
Furu' al-Masa'il wa Usul al-Wasa'il in Modern Bahasa Melayu
Wednesday, September 15, 2010
SKMM Perlu Bertindak Bukan Hanya Beri Amaran
Merujuk kepada kenyataan yang disiarkan dalam akhbar mengenai amaran oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberi amaran keras terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi bagi menggugat keharmonian dan sensitiviti pelbagai kaum dalam negara.
Sudah semestinya kenyataan ini amat dialu-alukan oleh rakyat kita yang cinta akan keharmonian dalam kehidupan pelbagai kaum di negara ini. Namun apa yang dikesalkan tindakan yang diambil oleh pihak SKMM terhadap pihak yang terbabit seakan-akan lembap. Buktinya terdapat banyak pihak akhbar tertentu termasuk laman blog yang berlambak-lambak dalam internet yang menjalankan provokasi terhadap isu-isu sensitiviti pelbagai kaum dalam negara ini namun terlepas begitu sahaja. Malah mereka semakin galak menabur provokasi dalam isu-isu sensitif.
Tidak dinafikan sebarang tindakan memerlukan siasatan rapi dan bukti yang cukup. Walau bagaimanapun, adakah hal ini menjadi satu penghalang kepada sebarang tindakan yang sepatutnya dikenakan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab itu. Sedangkan sudah terdapat banyak laporan polis dan juga bukti yang nyata mengenai tindakan yang mengganggu-gugat sensitiviti rakyat pelbagai kaum dalam negara ini dalam sesetengah kes tertentu tetapi pihak SKMM seperti tidak dapat berbuat apa-apa mengenainya.
Oleh yang sedemikian, adalah menjadi harapan rakyat Malaysia untuk melihat tindakan yang tegas dan pantas daripada pihak SKMM terhadap sebarang pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Bukannya sekadar kenyataan dan amaran semata-mata. Tiada gunanya kita rancak dalam membuat kenyataan tanpa ada tindakan yang muktamad. Rakyat akhirnya boleh hilang kepercayaan terhadap pihak SKMM.
Satu perkara lagi, pihak SKMM juga haruslah mengambil tindakan terhadap laman web dan blog yang memaparkan maklumat atau bahan yang berunsur pornografi atau juga diistilahkan sebagai lucah walau tidak begitu tepat dari segi maknanya. Perkara ini juga sudah menjadi begitu serius pada hari ini. Apa yang pasti laman-laman pornografi tumbuh bak cendawan tanpa adanya sebarang tindakan terhadap laman yang berdaftar di negara ini atau sebarang sekatan terhadap laman dari luar negara. Perkara ini saya pasti merupakan salah satu punca utama keruntuhan akhlak remaja kita.
Akhir sekali, bukanlah maksud saya untuk membuat tuduhan bahawa pihak SKMM tidak efektif namun sekadar meluahkan apa yang sepatutnya dilakukan agar negara akan lebih harmoni daripada elemen buruk serta provokasi yang berniat jahat terhadap negara. Semoga SKMM dan badan-badan kerajaan yang lain akan lebih proaktif dalam menghadapi ancaman ini.
-Sardini Tuman-
Tuesday, September 14, 2010
Raya oh Raya!
Komen Iklan Raya TV3
Ini adalah satu komen yang dihantar kepada ruangan forum Utusan Malaysia berkenaan iklan raya oleh TV3, walau bagaimanapun terdapat beberapa pengubahsuaian perkataan yang digunakan. Sebagai contoh saya tidak pernah menamakan stesyen TV terbabit namun diedit oleh pihak Utusan dengan meletakkan nama stesyen TV3. Adalah diakui benar stesyen yang dinyatakan itu namun adalah menjadi prinsip saya untuk tidak menamakan pihak yang terbabit dalam sesuatu isu. Apa pun tidaklah menjadi satu yang salah kerana iklan itu juga disiarkan kepada umum. Inilah komennya;
"SAYA ingin menyampaikan satu pendapat mengenai satu iklan raya oleh televisyen terkemuka tanah air, TV3.
Dalam iklan tersebut dipaparkan seorang pak cik tua yang menaiki sebuah beca yang digambarkan boleh terbang. Adalah sedia maklum pada kita bahawa dalam perayaan Krismas terdapat kepercayaan mengenai Santa Claus yang akan menghantar hadiah kepada kanak-kanak melalui kereta terbang rusa kutub.
Oleh yang sedemikian, terdapat persamaan itu dalam iklan ini yang boleh menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan anak-anak muda yang masih kurang pemahaman mereka mengenai hakikat ini.
Walau bagaimanapun, tidak kiralah kita faham hakikat sebenar atau tidak, sepatutnya pihak stesen televisyen tersebut haruslah bertanggungjawab memastikan iklan yang akan disiarkan tidak menyentuh sensitiviti agama Islam atau agama lain.
Mungkin pihak tersebut tidak tersedar akan perkara ini serta berniat mulia untuk menyelitkan mesej 1Malaysia yang diuar-uarkan pada masa ini.
Namun semangat 1Malaysia yang sebenarnya bukanlah bermakna kita mencampurgaulkan persoalan berkaitan sensitiviti agama. Janganlah dengan iklan yang seperti ini membuatkan harapan murni pucuk pimpinan negara berkecai akibat timbulnya isu sensitiviti agama ini atau menjahanamkan agama Islam itu tersendiri. Ingatlah perayaan Aidilfitri bukanlah adat Melayu tetapi soal ibadat agama Islam. Kesuciannya harus dipertahankan.
Sardini Tuman"
Daulat Tuanku!!!
Thursday, August 19, 2010
Susah Sangat Ke Nak Khatam Al-Quran Dalam Bulan Ramadhan??
Insya Allah, pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai bagaimana kadah untuk kita khatam 30 juzuk al-Quran dalam masa sebulan Ramadhan walau dalam masa yang begitu suntuk sekalipun dalam seharian. Saya pasti mungkin ramai antara kita yang sudah pasti mengetahui dan ramai pula yang telah pun melaksanakannya. Apa pun tujuan saya hanyalah sekadar berkongsi pengalaman dan sebagai peringatan buat sesama kita agar tidak terlupa. Sudah pasti dalam dunia yang semakin moden dan canggih ini, kehidupan kita akan lebih banyak disibukkan dengan pekerjaan dunia seperti kerja dari awal pagi hingga ke petang bahkan ada yang sampai menjengah waktu malam. Walau apa pun di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. Sesiapa yang berusaha Insya Allah akan berjaya.
Dalam sebulan Ramadhan terdapat 30 ataupun 29 hari bergantung kepada hilal bulan. Namun secara kasarnya kita dapat katakan terdapat 30 hari semuanya dalam sebulan bulan puasa. Oleh yang sedemikian, kita hanya perlu membaca satu juzuk al-Quran dalam sehari memandangkan al-Quran mengandungi sebanyak 30 juzuk kesemuanya. Saya pasti bagi sesetengah orang akan terfikir bahawa banyak juga ayat al-Quran yang perlu dibaca bagi setiap hari. Apa pun satu juzuk al-Quran tidaklah sebanyak mana pun. Jikalau dikira dari segi helaian kertas cuma sepuluh helai sahaja yang bersamaan 20 muka surat. Namun terdapat juga sesetengah juzuk yang lebih sedikit daripada sepuluh helai seperti juzuk 30 atau lebih dikenali dengan nama juzuk ‘Amma.
Bagaimana, adakah kita masih mempunyai semangat untuk menghabiskan bacaan ayat suci al-Quran dalam masa sebulan kita berpuasa? Atau semangat semakin pudar setelah mengira-ngira jumlah helaian yang perlu dibaca dalam sehari? Bagi saya, perasaan berat atau terbeban dengan jumlah yang mungkin banyak ini dapat diatasi melalui cara kita berfikir. Cuba fikirkan hanya sepuluh (10) helai sahaja satu hari bukannya seratus helaian. Bagi sepuluh helai ini tidaklah memakan masa yang terlalu lama jika kita pandai membahagi-bahagikan masa untuk membacanya.
Kaedah terbaik bagi membahagikan masa untuk membaca al-Quran adalah melalui waktu solat fardu lima waktu sehari semalam. Sudah pasti antara kita ini akan menyediakan ruang untuk menunaikan solat fardu walau dalam keadaan yang sesibuk mana sekalipun. Oleh itu, gunakanlah peluang setiap kali selepas solat fardu ini untuk membaca al-Quran sebanyak dua helai sahaja. Dengan itu, apabila dua helai ini didarabkan dengan lima kali solat fardu akan berjumlah sepuluh helai. Nampaknya kita telah pun berhasil untuk menghabiskan bacaan bagi hari tersebut. Nampak senang bukan, jumlah sepuluh helai itu kini semakin sedikit setelah dibahagi-bahagikan.
Inilah antara cara mudah untuk kita amalkan bagi menghabiskan bacaan al-Quran dalam masa sebulan Ramadhan. Saya percaya bagi menghabiskan bacaan dua helai ayat al-Quran tidaklah mengambil masa yang terlalu lama. Mungkin dalam masa sepuluh minit sahaja paling lama pun untuk menghabiskan bacaan tersebut. Apa pun hal ini bergantung kepada kefasihan seseorang itu dalam membaca al-Quran. Bagi mereka yang masih kurang lancar janganlah rasa sedih dan terbeban, bacalah sekadar yang termampu. Ingatlah bagi mereka yang tergagap-gagap atau tersekat-sekat dalam bacaannya Allah s.w.t. akan mengurniakan dua pahala. Pahala bacaan serta pahala akibat kesukaran yang ditempuh ketika membaca al-Quran.
Walau bagaimanapun, kita boleh sahaja mencari waktu-waktu lapang yang tersendiri kerana masa lapang setiap orang itu tidaklah sama. Bagi saya sendiri, saya lebih suka membaca al-Quran pada awal pagi setelah solat Subuh, selepas Asar, dan seusai Maghrib kerana saya fikir itulah masa yang paling lapang dan tenang untuk menghabiskan bacaan. Terserah kepada masing-masing. Cuma kaedah bacaan setiap kali selepas Solat merupakan antara cara mudah bagi membahagikan bacaan dalam jumlah yang tidak membebankan serta lebih elok iaitu seusai sahaja kita menunaikan solat. Harus diingatkan di sini, keazaman diri amat penting kerana tanpanya kita mungkin akan berhenti sekerat jalan lantaran timbulnya perasaan malas dan pelbagai dugaan lagi.
Akhir kalamnya, marilah kita sama-sama mengejar pahala amal kebajikan dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat ini dengan menamatkan bacaan al-Quran dalam sebulan kita berpuasa kerana tidaklah sesukar manapun untuk menghabiskan bacaan jikalau pandai merancang. Ingatlah membaca al-Quran bukan hanya khusus pada bulan Ramadhan sahaja namun harus diteruskan dalam bulan-bulan yang lain. Apa yang terbaik hendaklah kita pastikan dalam seharian kita hidup ini haruslah diselit dengan amalan membaca al-Quran waima satu muka surat mahupun satu ayat sekalipun. Mudah-mudahan kita dilimpahi rahmat dan sakinah daripada Tuhan Rabbul Jalil.
~Tokdin Tuman~ 09 Ramadhan 1431 H
Wednesday, August 18, 2010
Ramadhan Karim Yang Ditunggu-tunggu
-Tokdin Tuman- 17/08/10 ~ 08 Ramadhan 1431 H.
Sunday, July 25, 2010
Does FB Causing Language Distortion???
Bangkok: Facebook and Twitter are being blamed for the poor language skills of Thai students – and the Culture Ministry is suggesting a return to the bygone tradition of writing letters.
A national survey conducted by the ministry found that four out of ten Thai youths think “proper Thai” should only be used at formal occasions.
Roughly a third of Thai youths are not concerned about the misspellings, abbreviations and grammatical mistakes that are common in text messaging and social media conversations.
“We must preserve our national language. If nobody sees its importance, then we’re doomed,” Culture Minister Nipit Intarasombut said on Thursday, while announcing the results of the survey.
“Writing on facebook, twitter and mobile phone messages distorts the language,” he was quoted as saying by the Thai Post newspaper.
He added that more should be done to encourage writing letters the old-fashioned way.
“Nowadays, kids do not write letters anymore. They forget the correct way to write.”
The survey polled 6,500 youths over age 13 nationwide.
His comments came ahead of Thailand’s national language day, which will celebrated on July 29.
“Sometimes, I don’t understand what Thai kids are saying in their mother tongue,” the culture minister said.
“But our duty as government is to conserve the good parts of the Thai language.”
(Taken from The Star, 24 Jul. 10, Saturday)
What so fascinating with this article from The Star. It just what happened in Thailand where a survey conducted showed that youngster nowadays seem to use language improper way.
Then, what about our Bahasa Malaysia? Do we concern about it? As we all known, facebook has become a phenomena. The user of this social site has been increased day by day.
However, the trend shows that a lot of user of the facebook use the language in improper way of writing. It doesn’t a matter to use abbreviation as it is used to enable quick and easy writing. The point is to use the language correctly according the spelling of the word. If need to write in short form just use the right way of abbreviation.
For instance, the word ‘boleh’ just shortened it as ‘bleh’ and not ‘bley’ as the first form is derived from the word ‘boleh’. The second one consist letter ‘y’ which is not from the original word. Thus, this wrong way of making abbreviation will result in distorting and destroying our motherhood language later on.
What we afraid of is the people especially those kids will be influenced to use this way of writing in their daily writing including in the formal writing. Lastly, I hope that all of us could start using the right way in using the language. If we do not care about our own language, then who shall care of it. ‘BAHASA JIWA BANGSA’
-Tokdin Tuman, 24 July 2010-
http://tokdin.blogspot.com/
Tuesday, July 13, 2010
Adakah Mentaliti Pelakon Tempatan Dirasuki Ideologi Seni Barat?
Walau bagaimanapun, pada hemat saya yang bukanlah seorang jauhari dalam bidang seni ini adalah tidak patut bagi seorang pelakon berbogel dalam melakonkankan wataknya. Adakah perlu bagi seseorang pelakon melakonkan babak dalam sesuatu filem dalam keadaan yang memalukan seperti itu. Sebenarnya perwatakan dalam watak tidak hanya bergantung pada aspek luaran semata-mata apatah lagi bagi babak picisan seperti yang sedemikian. Sebaliknya apa yang lebih penting adalah penghayatan dari sudut dalaman yang tidak nampak dek mata kasar tetapi boleh dirasai oleh jiwa khalayak penonton. Perkara inilah yang sepatutnya ditekankan oleh para pelakon yang ingin menjiwai watak yang dilakonkan bukannya hanya pada babak luaran yang berkonotasi lucah. Jikalau pelakon-pelakon kita menganggap dengan melakonkan aksi-aksi yang seperti ini dapat membantu mereka dalam menghayati watak, mereka sebenarnya silap besar. Bahkan mereka akan memalukan diri sendiri dan apa yang lebih teruk adalah hal ini boleh membawa pengaruh negatif dalam masyarakat.
Di samping itu, bagi menyerlahkan lagi sifat dan karakter sesuatu watak, pelakon juga perlu mengambil berat akan aspek dialog, intonasi ketika melontarkan dialog lakonan, ekspresi atau mimik muka mahupun bahasa badan yang turut mempengaruhi mutu lakonan. Oleh itu, bagi menggambarkan sesuatu adegan atau babak yang berkonotasi negatif dan melibatkan perkara yang privasi adalah memadai dengan hanya menggunakan kiasan atau isyarat bagi babak tersebut. Dalam situasi pelakon yang dinyatakan tadi, tidak semestinya perlu menonjolkan adegan mandi secara keseluruhan apatah lagi jika tanpa seurat benang walaupun tidak ditunjukkan dalam filem sekalipun. Adakah dengan hanya menampilkan sebahagian badan misalnya dalam babak mandi itu menjejaskan mutu lakonan bagi filem itu.
Dalam masalah ini, para penggiat seni termasuklah penggiat seni filem perlulah sensitif atau peka terhadap isu-isu sensitif dalam budaya dan agama khususnya. Mereka boleh berdalih dengan apa saja alasan bagi mengharuskan sebarang adegan sensitif dan lucah dalam filem namun setiap penggiat seni mempunyai tanggungjawab dalam memastikan karya seni mereka tidak bercanggah dengan norma budaya setempat dan juga agama. Usahlah beralasan untuk memberi pengajaran kepada masyarakat dengan adegan picisan seperti itu kerana kaedah yang salah dan menyimpang tidak mungkin meluruskan keadaan yang sudah kusut dalam masyarakat. Memang benar realiti kehidupan masyarakat yang semakin dirundung masalah sosial yang teruk akan mempengaruhi intipati karya seni itu sendiri kerana seseorang pengkarya sejati akan memaparkan realiti kepincangan yang berlaku dalam masyarakat untuk tujuan memberi kesedaran kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, karya yang dihasilkan hendaklah berupaya mengadunkan persoalan seperti ini tanpa perlu memaparkan apa yang tidak sepatutnya ditayangkan. Yang sumbang tidak sepatutnya dihidangkan terus dalam keadaan sumbang begitu tetapi disulami dengan kiasan yang lebih berseni lagi bersopan. Di situlah letaknya tinggi rendahnya mutu sesuatu karya seni.
Seyogia diingatkan di sini akan satu pedoman atau prinsip yang harus dijadikan pegangan oleh setiap penggiat seni tidak kiralah pelakon, pengarah, penyanyi, penulis, dan karyawan yang lain. Penggiat seni agung adalah mereka yang mencorakkan pemikiran, budaya, dan akhlak masyarakat ke arah yang unggul lagi murni dan bukan sebaliknya yang akhirnya boleh menjahanamkan masyarakat. Hasilkanlah karya seni yang bukan hanya berkiblatkan kehendak masyarakat semata-mata tanpa disulami dengan unsur-unsur pengajaran dan didikan dalam membina masyarakat yang maju luaran dan dalamannya. Tamsilan yang mudah untuk dikongsi di sini adalah dengan melihat pada genre drama dan filem tempatan dewasa ini. Kebanyakannya bercorak seram yang jika dilihat pada sudut seni kurang nilainya apatah lagi dalam aspek ilmunya. Bukanlah tidak boleh dibuat cerita seram langsung tetapi jangan sampai tiada mesej dan ghaib seninya sehinggakan kebanyakannya boleh dikatakan sekadar picisan dan hampas yang menanti masa untuk dibuang. Sekadar boleh dijadikan bahan untuk semata-mata berhibur tanpa haluan. Penggiat seni tidak seharusnya terlalu mengikut kehendak penonton yang kebiasaannya tidak mengenal mana yang baik dan bermanfaat buat mereka. Janganlah terlalu mengejar keuntungan sehingga terlupa tujuan asal berkarya. Jadikanlah cabaran untuk meraih penonton dengan menghidangkan karya yang bukan saja memenuhi selera penonton tetapi juga berupaya mendidik masyarakat.
Akhir kalam, harapan setinggi gunung saya galaskan pada golongan penggiat seni tempatan untuk bangkit membuat anjakan paradigma dalam menghasilkan karya yang benar-benar tinggi mutunya dan bukan sekadar hampas yang menanti masa untuk dibuang. Bukalah horizon minda dengan selahar-laharnya, terima segala kritikan, dan berkaryalah dengan sebebas-bebasnya berpaksikan adat, budaya setempat, dan agama. Bagi yang terkhilaf terus bangkit daripada keterlanjuran, pohon kemaafan dan ubahlah kesilapan menjadi kejayaan. Janganlah ada antara penggiat seni kita yang bersikap evasif lalu lari daripada tanggungjawab mendidik masyarakat melalui karya yang matang. Agaknya bilakah revolusi karya seni di Malaysia bakal berlaku? Semoga apabila negara diumumkan maju nanti pada tahun 2020 industri seni tempatan turut sama maju dan matang.
-Tokdin Tuman-